Projek ini bermula apabila kami sepakat untuk bertemu setiap pagi Ahad, di Klang, selama 4 minggu berturut-turut. Biasanya bila saya mulakan satu-satu projek, ia sukar untuk saya jejak kembali bagaimana ia bermula. Tahu-tahu ia dah nak siap. Archana, Paik Yin dan Aizam tentu lebih ingat bagaimana ia bermula.

Seingat saya, projek ini bermula dengan niat untuk bikin filem pendek tapi dengan proses teater. Biasanya bila saya bikin filem pendek kita shoot ‘run and gun’ dalam sehari, manakala untuk teater pula kita rehearsal dalam 2-3 bulan. Saya ingin filem pendek saya tak dibikin terlalu cepat, ada proses latihan (tapi tak selama dan seintens teater), dan lalu MENJADI LAILA DAN SAIRAH terbentuk. Kita bertemu, saya tulis skrip, kita berlatih dan bersembang, makan, suntingan memecahkan kembali apa yang dirakam, rekaan bunyi dibikin, sesuatu terjadi.

Ketika menaip tulisan ini, filem ini sedang dimasukkan sari kata Inggeris. Selain itu, kita turut akan adakan tayangan internal preview untuk merasai perasaan filem berdurasi 25 minit ini bila ia dipancarkan melalui projektor. Ia sentiasa pengalaman yang syok untuk saya sebab, sejujurnya ia tak sama menonton di skrin (sepanjang proses menyunting ini), tambahan bila ia dipancarkan secara lebih besar, lebih-lebih lagi bila ada teman-teman yang tak terlibat dengan projek ini tonton sekali, orang luar dan asing dengan mata yang segar. Ia buat kita pembikin rasa berdebar sebab sedang mempersembahkan kerja kita kepada orang, ibarat menjamu tetamu selepas memasak sesuatu di dapur.

Buat teman-teman yang memberi sumbangan ‘buy me a coffee’ (sebelum filem ini dianggap siap), nama anda akan dikredit di bahagian ‘Special thanks’ di hujung filem ini. Sila-sila, jemput sokong projek ini!

– Ridhwan