Video-video perkongsian ini saya propose pada awal/pertengahan tahun 2021 dan ia dijangka untuk disiapkan pada tahun itu juga. Dengan situasi lockdown yang tak menentu saya propose suatu idea yang mudah untuk dihasilkan dalam skala mandiri, iaitu untuk saya berkongsi pandangan saya tentang lima bentuk seni yang terpilih.

Idea kasarnya seperti siri video Mukadimah Sinema di mana saya bercakap terus ke kamera dan berkongsi apa yang terlintas di fikiran. Ia boleh dibuat di dalam rumah seorang diri dengan kamera di atas tripod. Sewaktu menghasilkan video-video Mukadimah Sinema ia bikin gementar kerana kita tak biasa vlogging atau bercakap dengan kamera seolah ada orang yang akan menontonnya. Saya masih rasa kamera di depan saya itu cuma kamera.

Apa pun projek 'Ridhwan Saidi Dalam Lima Bentuk Seni' (RSDLBS) ini diaksikan pada awal 2022 di mana situasi semakin membolehkan kita untuk keluar. Maka saya olah idea untuk saya cakap berseorangan ke arah kamera yang statik, kepada saya cakap bersama seseorang ke arah kamera yang bergerak.

Dana Create Now 2.0 Funding Programme ini unik di mana ia membolehkan kita untuk beli equipment bagi tujuan kelangsungan seni mendatang, dan dalam projek ini, kita mendapatkan shotgun mic yang diperlukan bagi tujuan pembikinan video-video dan filem-filem mendatang.

Kini saya sudah punya kamera dan peralatan audio yang cukup bagi skala gerila untuk bikin filem, tetapi kebiasaannya bila kita sudah ada equipment, kita perlukan kesungguhan untuk terus membikin. Biasanya bila kita tiada equipment kita beriya-iya guna apa yang ada, tetapi bila barang cukup, ia jarang-jarang digunakan. Jadi jika ada peluang, saya akan guna ia sebelum teknologi sedia ada ini menjadi usang.

Sewaktu membikin filem Tiada Cinta Selama Muda, kita menggunakan kamera digital yang berusia 9-10 tahun. Di kala semua orang sudah 4k dan 8k uncompressed, kita masih shoot HD yang compressed. Saya meletakkan had untuk saya guna peralatan yang baru dibeli ini, untuk bikin filem seterusnya sebelum 5 atau 10 tahun mendatang. Ideanya adalah untuk elak dari peralatan itu sendiri yang akan mengalami kerosakan, selain teknologi akan semakin maju dan paparan visual kita tertinggal. Dengan teknologi digital, ia cepat untuk kita rasa tertinggal, tetapi sebaliknya amat berbeza jika kita guna filem (analog) yang sentiasa indah dan semakin mahal saban hari.

Asalnya video-video ini seperti video biasa, tetapi sewaktu menyunting, saya ternampak butang yang akan render ia jadi seperti animasi, maka saya pun cuba. Setiap episod ambil 8-10 jam untuk di-render komputer, dan ada waktu ia tersekat sebab komputer ke sleep mode, jadi kita kena mula balik. Awalnya saya tak tahu kita boleh tutup sleep mode itu, jadi selama seminggu saya berjaga siang malam di depan komputer untuk pastikan bila ia lock screen, saya gerak-gerakkan balik mouse. Ada waktu bila komputer panas, saya rehatkan kejap dengan tutup dan keluar rumah.

Lima tetamu yang dijemput: Ani Aziz, Mah Jun Yi, Ali Aiman Mazwin, Archana Pillai dan Meier Wee. Pemilihan tetamu ini sengaja saya pilih mereka yang kurang arif secara spesifik terhadap medium yang dikendali. Misalnya Ani Aziz lebih familiar dengan novel dan kerja teater saya tapi kita berborak tentang photobook. Tujuannya adalah untuk saya terima soalan yang umum, selain sedikit sebanyak ia menjadi semakin spesifik. Ini kerana video perkongsian ini cuma 5-10 minit (dalam proposal), maka saya tak mahu kita pergi terlalu mendalam dan fokus ke satu-satu work spesifik seperti teater Stereo Genmai misalnya, atau filem Tiada Cinta Selama Muda, atau novel Mautopia. Untuk setiap judul atau hasil kerja saya, saya boleh cakap berjam-jam untuk kongsi prosesnya. Maka di dalam projek ini, kita cenderung untuk bermula dengan sesuatu yang umum (kenapa saya pilih medium tersebut dan bagaimana saya bekerja), dan kemudian baru sedikit sebanyak sentuh hasil kerja yang spesifik (kerana setiap karya ada memori dan cara kerja yang berbeza).

Untuk setiap tetamu direction saya adalah untuk kita bercakap, dan terus bercakap sehingga akhirnya kita lupakan kewujudan kamera. Saya dapat rasa ada di antara teman-teman ini yang sedikit gugup dan rasa janggal awalnya (sebab kita di tempat terbuka, dengan kamera bagai, ia jarang-jarang dibuat), jadi tugas saya juga selain ingin berkongsi, cuba untuk mewujudkan perasaan selesa.

Untuk dirakam video perlukan keberanian kerana kita mungkin boleh tersilap cakap, tapi saya sentiasa sedar, video cuma merakam diri kita di momen itu sahaja. Andai anda tanya soalan yang sama kepada saya sekarang, responsnya boleh jadi berbeza. Tetapi untuk ada kesedaran dirakam, kita perlu fokus dan minum kopi (espresso-based) sebelum setiap kali sesi agar minda jadi terang.

Saya ada terfikir untuk gabungkan kesemua video-video ini menjadi satu video penuh berdurasi 50 minit, tetapi ia berselang-selang di antara satu sama lain, menjadi satu pengalaman perbualan yang jitu dengan rekaan audio dan muzik berbeza. Mungkin ia futej asal non-animasi, tetapi ini cuma bayangan yang memerlukan kerajinan. Mungkin juga ini cuma dahan kepada lima seni terawal yang dikongsi, kerana ada ranting-ranting medium yang lain seperti sinografi, rekaan bunyi, dramaturgi, koreografi yang ingin saya teroka... yang mungkin akan ada videonya pula satu hari nanti.

Lima video RSDLBS di bawah disusun ikut hari kita shoot, yang mungkin memberi impresi berbeza andai kita menontonnya menurut kronologi episod. Dari Shah Alam, ke Old Klang Road, ke Bandar Sunway, ke Klang, ke Kuala Lumpur. Hanya episod bersama Ali Aiman kita buat di dalam kereta sebab hari hujan. Yang saya rasa, bila kita cakap duduk, ia tak selancar bila kita cakap sambil berjalan. Bercakap fasal seni sambil berjalan kaki memang syok dan rasanya tak pernah saya buat dalam hidup!

Ridhwan Saidi Dalam Lima Bentuk Seni ialah siri video lima episod perkongsian tentang seni teater, filem, puisi, novel dan photobook oleh Ridhwan Saidi bersama teman-teman.

Dengan sokongan CENDANA Malaysia #CENDANACreateNow